Friday, August 28, 2009
Kisah Cinta
(Cerpen ini adalah karya pertama saya yang pernah terbit dalam salah sebuah majalah, (tidak ingat tahun bila). Tajuknya, Semalam Sudah Berlalu. Dan saya muatkan kembali di blog ini sebagai kenangan.)
AZRINA meletakkan gagang telefon dan tersandar di kerusi melayan perasaan. Timbul rasa kesal di hati Azrina. Mengapa Rusli menelefonnya. Perlu apa lagi lelaki itu dengannya?
Azrina mengeluh lemah. Lemah dalam keresahan. Tekadnya cuma satu. Hubungannya dengan Rusli biarlah setakat itu saja.
“Oh! Tuhan, tabahkanlah hatiku. Kuatkanlah semangatku. Tolonglah aku melupakan dia!. Doa Azrina dalam hati.
Sudah hampir tiga tahun Azrina tidak bertemu dengan Rusli. Sejak Azrina berpindah ke Kuala Lumpur ini. Kisah-kisah manisnya bersama Rusli dulu sudah dikikisnya habis-habis.
Dia datang ke Kuala Lumpur ini dengan tekad dan semangat baru. Tapi... Kuala Lumpur ini kecil. Betapapun dia cuba melarikan diri, suatu masa tersua jua.
Agak terkejut juga Azrina sewaktu terserempak dengan Rusli pagi semalam. Dia hendak naik ke tingkat empat dan kebetulan Rusli datang ke pejabat itu kerana urusan tertentu. Perjalanan melalui tangga di pagi hening itu telah menemukan semula Azrina dengan Rusli.
“Heh... Azrina?” Rusli terpekik sedikit.
“Rusli...!” “Apakhabar?”
“Baik,” sahut Azrina. Dadanya berdebar kencang. Tak sangka bertemu Rusli.
“You kerja di sini?” tanya Rusli. Masih tidak percaya bertemu kekasih lama di tempat itu.
“Ya...” “Apa tuahnya kita bertemu hari ini.” kata Rusli riang. Azrina tidak menjawab. Dia terus beredar ke pejabatnya.
Inilah kali pertama dia bertentang mata dengan Rusli sejak berpisah tiga tahun lalu. Dalam tiga tahun itu dia tidak pernah tahu khabar berita Rusli. Sejak dia berhijrah ke Kuala Lumpur ini, Rusli sudah hilang dari ingatannya.
Pertemuan singkat tadi telah membangkitkan semula ingatan lamanya terhadap lelaki itu. Tapi pertemuan yang terjadi pagi tadi tidak seindah pertemuan dengan Rusli tiga tahun dulu. Pertemuan sebentar tadi tidak pernah diharapkannya sejak perpisahan mereka.
“You tak turun makan, Ina?” Tanya Ruby ketika hendak turun makan tengah hari itu.
“Oh! tidak Ruby, I tak lapar!” beritahu Azrina.
“Kalau begitu I turun dulu lah.” Okey!”
Tinggallah Azrina sendirian melayani fikiran. Dia menyandarkan tubuhnya ke kerusi. Matanya dipejamkan. Fikirannya melayang jauh. Kenangan lama berputar semula dalam kotak ingatannya.
“Rin!” tiba-tiba satu suara memecah keheningan pejabat yang sudah ditinggalkan sepi oleh penghuninya tengah hari itu.
“Oh!...Rusli?” “You tak keluar makan?” Tanya Rusli kemudian menarik sebuah kerusi berhampiran. Azrina serba salah.
“Tidak! I tak lapar!” sahut Azrina. Dia merenung Rusli yang duduk di hadapannya. Rusli makin segak! bisik hati Azrina.
“Rin, lama kita tak jumpa ya. Entah apa tuahnya kita jumpa pagi semalam,” ujar Rusli tetap riang.
“Cuma kebetulan saja. I bekerja di sini dan you datang dengan urusan pejabat. Sebenarnya I tak mengharapkan pertemuan yang begini lagi!” Azrina cuba menahan sebak di dada. Kenangan lama menghiris-hiris tangkai hatinya.
“You membenci I Rin?”
“I tak pernah membenci sesiapa pun Rusli. Temasuk juga you. Cuma I sudah tidak mengharapkan lagi untuk bertemu dengan you. Kita tidak ada apa-apa hubungan lagi!” Azrina gementar. Dadanya berombak kencang. Nafasnya sesak dan airmatanya sudah hampir tidak dapat dibendung lagi.
“Rin...! Lama I mencari you. Dari saat ke saat I tak pernah melupakan you. I masih sayangkan you Rin!”
“Hem... buat apa you cari I. Berapa banyak sayang lagi hendak you katakan pada I?” Ucapan itu bagaikan sembilu menusuk jantung hati Rusli. Azrina yang berada di hadapannya kini bukan macam Azrina yang dikenalinya tiga tahun dulu. Senang dipujuk rayu.
“Apa yang hendak I katakan pada you Rin. Bagi I you bukan orang lain lagi. I masih tetap sayangkan you.”
“Sudahlah. Antara kita sudah tidak ada cerita lagi. Sudah habis dan I sudah lupa segala-galanya. Diam. Rusli tidak tahu apa yang hendak dicakapkannya pada Azrina. Gadis itu benar-benar sudah benci kepadanya. Silapku juga! bisik hati Rusli sendiri.
“Rin... Kalau you tak keberatan I datang ambil you petang nanti!” Rusli beredar dari situ. Dia tidak mahu tergesa-gesa. Azrina harus dipujuk. Lama-lama nanti sejuklah hatinya! bisik hati Rusli.
Petang itu Azrina serba-salah. Rusli sudah sedia menunggu seperti yang dijanjikan. Hendak tak hendak terpaksalah Azrina naik kereta Rusli.
“I hantar you terus ke rumah,” Azrina tidak membantah. “Di mana you tinggal?”
“No. 55, Jalan Anggerik,” ujar Azrina tegas juga. Rusli akur. Kedua-duanya tidak berkata-kata sewaktu di dalam kereta. Masing-masing melayani perasaan yang berkecamuk di hati. Azrina melemparkan pandangan keluar sepanjang jalan yang dilalui!
“Masuklah Rusli.” pelawa Azrina sebaik saja dia menolak daun pintu. Wajah Rusli kelihatan jernih sedikit. Azrina sudah mahu berlembut dengannya sekarang, fikir Rusli.
“Sunyi saja, you tinggal sorang saja di rumah ni?” tanya Rusli sebaik saja melabuhkan punggung di kerusi empuk di ruang tamu. Matanya liar memerhatikan sekitar ruang tamu yang dihias kemas dan rapi. Sudah mewah hidup Azrina sekarang, fikir Rusli lagi.
“Memang selamanya I sorang!” sahut Azrina sambil berlalu ke dapur. Tinggal Rusli sendirian di ruang tamu.
“Rusli!...” seru Azrina sebaik saja meletakkan segelas oren sejuk di atas meja di depan Rusli. Kemudian dia duduk di kerusi berhadapan dengan Rusli.
“Apa yang nak you bincangkan dengan I sehingga beriya-iya sangat you datang ke pejabat tengah hari tadi dan bermurah hari pula menghantar I pulang petang ni!” tanya Azrina.
Rusli menghisap rokok seperti mencari akal. Kosong fikirannya dan hilang segala kata madah dan pujuk rayunya yang sudah dikarang sejak tadi. Tergamam dengan gaya dan layanan dari Azrina yang dingin dan tawar.
“I tahu you masih marahkan I.”
“Sudahlah Rusli! I tak mahu bincangkan lagi hal itu.”
“Rin, sebenarnya...” Rusli teragak-agak untuk menerangkan maksud sebenar hatinya.
“Sebenarnya apa? You sengaja datang untuk melukakan hati I. Sengaja mencari jalan untuk mengorek semula parut luka lama di hati I. Biar berdarah semula. You kejam! Rusli. Jenis apa you ni Rusli?” ujar Azrina. Airmatanya tak dapat dibendung lagi. Dia menangis. Walaupun dia sudah cuba untuk tidak menangis kali ini. Tapi ternyata Azrina tidak dapat membendung airmatanya dari terus mengalir. Sedih hatinya mengenangkan bagaimana Rusli dulu begitu angkuh meninggalkannya.
“Rin! Berilah I peluang untuk menerangkan kedudukan yang sebenarnya.” pujuk Rusli. Suaranya lembut meresap ke hati.
“I rasa tak perlu lagi Rusli. Cukuplah setakat itu.”
“Begitu keras hati you Rin!” Azrina menarik nafas panjang. Tangisannya sudah reda. Dia menatap wajah Rusli yang sayu. Terusik juga hati kecilnya. Mestikah dia terus bersikap kasar dengan orang yang pernah mencuri hatinya suatu ketika dulu? Rusli yang pernah memutuskan tali pertunangan mereka tiga tahun dulu.
Sejak itu Azrina tidak pernah lagi bercinta. Usianya pun kini sudah menjangkau kedua puluh sembilan tahun. Dia sudah bertekad tidak terlibat lagi dengan cinta. Hatinya sudah kecewa. Sekarang pun dia sudah cukup bahagia dengan apa yang ada. Tapi Rusli datang mengocak kedamaian hatinya semula.
“Kami sudah berpisah Rin. Nora yang I kahwini ternyata tidak menyintai I sepenuh hatinya. Dia hanya berpura-pura. Setahun saja usia perkahwinan kami, kemudian kami berpisah mengikut haluan masing-masing. Sehinggalah I bertemu dengan you semalam,” ucap Rusli bagai memohon simpati. Azrina tersentak dengan penjelasan Rusli. Benarkah seperti apa yang dikatakan oleh Rusli? “Mungkin itulah pembalasan yang I terima kerana mengecewakan hati you Rin.”
“I simpati dengan nasib you.” ujar Azrina agak tersekat-sekat. Kesal hatinya bersikap kasar dengan Rusli.
“I minta maaf Rin. I mengaku kesalahan I. Maafkanlah I. Janganlah menyimpan dendam. Kita buangkan yang keruh dan ambil yang jernih,” pinta Rusli.
“ I sudah memaafkannya!” sahut Azrina lemah.
“Rin, kembalilah semula pada I, kita sambung kembali ikatan yang telah terputus,” rayu Rusli.
“Tapi mengapa baru sekarang Rusli, tidak dulu? Waktu I menangis siang malam mengharapkan you.”
“Setiap orang tidak lari dari membuat kesilapan Rin. Waktu itu I muda. Orang muda cepat bertindak tanpa berfikir panjang.”
“Tindakan you itu menghancurkan hati I Rusli...” “I kesal sekarang Rin. Tapi berilah I peluang menebus semula kesalahan I,” rayu Rusli lagi.
“You tak tahu bagaimana lukanya hati ini Rusli...” suara Azrina tertahan-tahan. Wajahnya muram kembali. Detik-detik pahit yang lalu amat sukar hendak dikikisnya semula walaupun Rusli sudah mengaku kesalahannya.
“Rin... I masih sayangkan you lagi. Marilah kita bina hidup baru. Yang lalu lupakan saja!” Azrina merenung Rusli, kemudian dia tersenyum pahit.
“Sudahlah Rusli. Usah disebut lagi soal kasih, soal sayang. I sudah serik.”
“I masih sayangkan you, Rin... Percayalah...”
“I hargai kasih sayang you. Tapi I tidak dapat membalasnya. I sudah jemu dengan suasana cinta. Biarkanlah I begini. I sudah cukup bahagia sekarang,” ungkap Azrina.
“Sampai hati you sia-siakan harapan I.”
“Harapan I lebih dulu you sia-siakan Rusli. Mengapa sekarang you mengungkit-ungkit harapan you yang I sia-siakan?”
“You mahu menyeksa hati I...”
“Tidak, I tidak pernah berniat untuk menyeksa hati sesiapa. Kalau you merasa terseksa, jangan salahkan I. Tapi salahkanlah diri you sendiri. Dan belajarlah dari kesalahan itu!”
“You mahu membalas dendam!”
“Tak pernah terlintas begitu dalam hati I. I cuma mahu hidup sendiri!” Rusli terdiam, hanya matanya saja merenung wajah Azrina yang suatu ketika dulu adalah tunangannya. Wajah yang membendung seribu kepahitan atas tindakannya sendiri. Rusli tidak menyangka Azrina yang lemah-lembut ini begitu keras hatinya. Wanita yang pernah dilukakan hatinya, yang pernah menangis kerananya dulu sekarang sudah begitu kuat tekad dan semangatnya untuk terus hidup sendirian.
Memang Azrina tidak mahu berfikir panjang lagi. Biarlah Rusli tahu, dia tidak semudah itu untuk dipujuk rayu lagi. Mudah-mudahan dia akan bertemu dengan gadis yang benar-benar menyintai dirinya.
“Lupakanlah I... lupakanlah!” pnta Azrina. Rusli menatap wajah Azrina puas-puas. Itu saja yang dapat dilakukannya. Segala usaha untuk memujuk Azrina ternyata tidak berjaya. Azrina masih tetap dengan keputusannya.
Perlahan-lahan Rusli mengundur diri ketika senja mula berlabuh. Meninggalkan kenangan semalam yang pahit. Esok akan ditunggu dengan penuh tabah.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment