Friday, June 26, 2009

Melodi Cintaku...


DISINI kita bertemu. Amat mudah dan ringkas sekali pertemuan kita. Aku seperti bermimpi dapat bertemu dengan mu pagi itu. Tidak banyak yang sempat kita bicara kerana kau harus segera kembali ke Johor Bahru.

Sayu. Betapa sayunya berpisah denganmu. Aku perhatikan langkah-langkah mu yang tegap kemas menghilang di celah-celah kesibukan orang ramai. Perlahan-lahan aku merasa kesepian ditinggalkan. Aku pilu. Aku hiba. Aku akhirnya menangis sendiri dalam hati. Entah kenapa aku mesti berperasaan demikian. Barangkali di hatiku sudah menderu cintanya dari pertemuan singkat ini.


Aku gembira dapat mengenalimu. Kau seorang penulis muda yang gigih. Selama setahun kita cuma kenal melalui surat. Sesekalinya pula berbual di telefon. Dari dua orang kenalan biasa, kita sering berbual tentang puisi dan cerpen. Dan akhirnya sama-sama jatuh... Aku rindukan biacaramu yang romantis dan kau selalu mahu dengar suaraku... Lalu kita akhirnya berjanji ‘olok-olok berpacaran!’

Aku mulanya tidak begitu yakin dengan kedatanganmu. Fikirku kau cuma bergurau. Maklum saja jarak antara tempat tinggal kita bukannya dekat. Sehingga aku mendapat panggilan telefonmu petang itu. Hatiku terlonjak kegirangan. Dan semuanya terjadi dengan begitu mudah sekali...

Buat pertama kalinya kita bertentangan mata, aku tidak berdaya melindungi rasa gementar di diriku. Pun aku masih sempat menyembunyikan riak bahagiaku. Lalu ku pendamkan sebuah keriangan dalam-dalam di lubuk hati. Kita pun dengan amat mesranya berjalan bergandingan di celah-celah keriuhan kota ini. Aduh! manisnya kenangan itu berlalu.

Namun waktu yang beredar tidak pernah memungkiri janjinya. Bagaikan cemburu melihat kemesraan kita. Bilamana jejariku kau genggam untuk mengakhiri pertemuan. Detik itu aku terasa amat pilu.

Beberapa minggu telah berlalu. Dan kini ketika aku sendirian yang mampu kuingat cumalah kenangan yang sekejap itu bersama mu. Yang menemukan aku dengan sebuah kebahagiaan yang indah! Aku inginkan, biarlah hari-hari selanjutnya sedamai suasana di kala remang senja. Sesyahdu pagi-pagi indah dengan hembusan bayu lembut yang dingin.

Moga masih ada waktu untuk kita mengulangi pertemuan ini dengan kemesraan yang padu... Betapa aku merasakan perpisahan ini demi waktu-waktu yang panjang. Perjalanan yang harus aku tempuh. Aku bergelut, berperang melawan kesepiang yang mencengkam hati. Betapa diriku dihanyut resah, mengikut arus kesunyian menuju satu penantian yang belum pasti!..

Ah, sungguh rumit sekali. Aku jauh beratus batu darimu. Lambat sungguh hari-hari yang aku lalui. Petang lambat menjadi malam. Malam lambat menjadi pagi. Sungguh rindu aku padamu. Dan aku hanya menanti warkah mu.

Hari bertukar juga silih berganti. Siang dan malam datang dan pergi. Sekarang aku seorang diri. Sesungguhnya malam ini aku tidak dapat tidur. Ingatan ku mengimbau-imbau kepada seorang lelaki yang ku temui 15 Dis., lalu... Engkaulah!

Aku kembali mengingati babak perkenalan kita. Kehadiranmu mengisi ruang-ruang diariku secara tiba-tiba. Segala-gala berlaku bagaikan dalam mimpi. Mimpi yang indah! Mimpi yang menarik dengan janji kita ‘olok-olok berpacaran’.

Ah, tidaklah menjadi keterlaluan rasanya kalau aku kata aku tidak pernah berolok-olok denganmu. Bagiku kau paling istimewa. Barangkali kau tidak terkejut kerana dari dulu lagi sudah ku nyatakan.

Setiap pertemuan itu berakhir dengan perpisahan. Tetapi hatiku telah bertanya, bilakah aku akan bersua kembali denganmu? Esok? Lusa? Setahun lagi? Hanya Tuhan yang mengatur segala-galanya.

Kemudiannya bila-bila aku rasa sepi dan rindu padamu aku senang melahirkan bicara di dada karyaku. Seperti yang selalu ku katakan, tiap hasil karyaku adalah sebahagian dari cita rasaku sendiri.

Ah, barangkali aku ini gadis yang tak pernah sopan. Berbicara apa saja sesuka hati. Tapi walau apa pun anggapan mu, biarlah! Bagiku, aku rasa puas, tenang dan bahagia kerana berjaya melahirkan rahsia hati pada karyaku yang singkat ini.

Begitulah kita insan-insan penulis. Dan sempena itu di dada karya inilah, ku curahkan tentang ‘rahsia yang maha rahsia’ buat seorang lelaki yang berada jauh di selatan tanahair sana. Pasti kau tak ketinggalan membacanya.

Dan aku masih menanti bicara puitismu selanjutnya...

No comments:

Post a Comment