Wednesday, July 29, 2015

Kenangan terukir di sini!...


Kenangan terukir si sini...

Dah 9 hari di UK ni. Musim panas sekarang... matahari terpancar terang... tapi suhunya tetap dingin. Pada aku tiada bezanya pun ketika datang waktu winter dua tahun dulu. Dalam rumah dan di luar rumah aku tetap pakai baju panas.

Majlis konvo abang dah berlalu seminggu lepas. Dan kedatangan aku sekeluarga ke UK pada tiga hari raya haritu memang untuk hadiri majlis tersebut. Dan untuk pertama kalinya aku sekeluarga beraya di luar negara. Argh! terlepas banyak rumah terbuka, rendang, ketupat, lemang dan biskut raya yang sedap-sedap.

Tahun ini lupakan raya. Paling penting nak tengok abang ke pentas sebagai graduan Master of Chemical Engineering.

Abang sebagai anak sulung telah berikan satu pengalaman dan kenangan manis apabila aku berpeluang menyaksikan dia memakai jubah konvo di UK. Maaf kalau aku cakap... pastinya ramai emak-emak yang ingin lihat anak 'graduate' dari universiti luar negara tapi peluang itu bukanlah mudah untuk mendapatkannya. Sebab persaingan lepasan SPM yang memohon untuk mendapatkan tajaan/biasiswa sangat sengit. Dan aku bukanlah golongan yang berada yang mampu untuk hantar anak belajar di luar negara dengan duit sendiri... lebih-lebih lagi di United Kingdom. Sebab itu bila abang mendapat peluang dan tawaran aku sering ingatkan dia supaya belajar bersungguh-sungguh.

Aku seperti tidak percaya yang kami sekeluarga boleh datang ramai-ramai ke Sheffield ni semata-mata nak tengok abang konvo. Majlisnya 'happening' sungguh. Bak kata Pro-Vice-Chansellor Professor A.J Ryan sebelum majlis bermula "bergembiralah... ini adalah majlis meraikan kejayaan".

Dan setiap kali nama graduan dipanggil dan melangkah ke pentas ibu bapa mereka akan bersorak dan bertepuk tangan dengan gamatnya. Paling gamat bila graduan dari Afrika berjalan ke pentas... keluarga mereka akan bangun bersorak, menyanyi dan menari-nari di barisan tempat duduk mereka. Sampaikan barisan prof dan Vice Chansellor di pentas turut tersenyum melihat gelagat mereka. Aku pun turut bersorak bila nama abang disebut dan naik ke pentas.

Usai majlis penyampian... Vice Chansellor meminta para graduan berpaling ke arah ibu bapa dan memberikan tepukan gemuruh pada kami. Simple dan ringkas saja majlisnya.

Sebaik keluar dari dewan, hujan renyai-renyai. Tapi itu tidak menghalang kami berfoto dan bergambar beramai-ramai dan saling mengucapkan tahniah antara satu sama lain. Dan aku sempat berkenalan dengan lecturer dan beberapa orang rakan-rakan abang dari lain-lain negara, keluarga mereka dan mengucapkan tahniah atas kejayaan anak masing-masing.

Abang dan umminya... kakak aku yang
menjaganya masa kecik bila aku keluar bekerja.

Friday, July 24, 2015

Terima kasih sayang!...

Master of Chemical Engineering (MEng)

Hati sebak dan airmata bergenang. Aku cuba untuk menahannya dari mengalir. Kiriman dan SMS ucapan kawan-kawan dari M'sia menambahkan lagi sebaknya hati aku.

Pagi ini dia seperti mula-mula masuk sekolah dulu. Aku keringkan, lap dan sikatkan rambutnya. Semuanya nak aku tolong. Ketika dia mengikat tali lehernya aku berpaling ke arah lain dan menyeka airmata yang hampir menitis.

Bertahun lamanya menunggu saat ini. Tak reti nak gambarkan bagaimana perasaan aku. Yang pasti aku gembira dengan kejayaannya. Berhempas pulas belajar. Ada ketikanya lalui juga saat kecewa. Tapi aku tetap berdiri di belakangnya memberikan semangat dan mendengar apa jua masalah yang di hadapinya.

Tahniah abang! Mak bangga dengan abang. Abang telah hadiahkan sesuatu yang amat berharga untuk emak hari ini. Ingat tak janji abang dengan mak dulu... waktu hari pertama mak hantar abang  ke sekolah..., "kalau sayangkan mak belajar pandai-pandai!" Sekarang abang dah tunaikan.Terima kasih sayang!