Tuesday, May 26, 2015

Berebut cuti...

Bila semua cuti serentak... Masing-masing ada keperluan. Aku selalunya tiada masalah bila tiba cuti sekolah. Dari dulu sampai sekarang. Aku ok je kalau kawan-kawan nak bercuti waktu itu dan tak kisah ambil alih kerja mereka.

Masa anak-anak bersekolah dulu kalau cuti semester aku memang tak ada rancangan untuk bawa anak jalan-jalan... kerana ketika cuti itulah mereka menghabiskan masa mengulangkaji kembali pelajaran, menghadiri kelas tuisyen dan ke perpustakaan. Malah ketika cuti sekolah itulah guru tuisyen akan datang dua kali seminggu di rumah.

Tapi hari ini tidak... aku bertegas dan tak boleh mengalah. Minggu depan cuti sekolah... ramai kawan-kawan sepejabat dari bahagian aku ni nak ambil cuti. Malah ada tu, setiap cuti sekolah dia mesti cuti. Geram pulak aku... asyik dia je. Ada saja programnya dengan family.

Aku tak peduli kali ini sama ada dapat cuti atau tidak. Ada orang nak ganti kerja aku ke atau tak ada... bukan penghalang. Aku dah nekad... aku tetap mahu bercuti minggu depan. Tiada kompromi.

Minggu depan Ojet ada present thesis / researchnya (viva). Tiket keretapi, bas dan kapal terbang dah habis di booking. Terpaksalah aku menghantarnya balik dan menunggunya di kolej. Kerana ini aku beritahu kawan-kawan sepejabat, aku tidak boleh mengalah kali ini.

Ini penentu kejayaan Ojet selama menuntut di universiti. Dia pun dah berazam mahu dapat 4 flat. Ingin meraih ANC. Dan semestinya aku memberikan sokongan padanya walau apapun halangan. Seboleh-bolehnya aku tidak mahu fikirannya terganggu sehingga hari present thesisnya. Malah baju yang hendak di pakai Ojet pada hari itu pun sudah di pilih dan aku siapkan. Biarlah aku kena marah atau dapat surat tunjuk sebab dari majikan sebab bercuti tanpa ada orang ganti tempat aku. Dengan Ojet pun aku dah cakap, "take your time, kita datang sehari lebih awal pun tak apa. Mak nak adik relax dan betul-betul bersedia."

(nota mak: Demi anak, aku redah semua rintangan dan halangan. Aku mahu lihat mereka sentiasa senyum...)

Thursday, May 21, 2015

Meleret senyum sampai telinga...

Masa sambutan Hari Ibu minggu sudah, Ojet tak ada di rumah. Dia ikut sekali bersama kumpulan staff Petronas yang mengadakan temuduga untuk pelajar SPM tahun lepas yang memohon biasiswa/tajaan pendidikan dari Petronas. Dua hari di Sunway dan sehari di UTM Space. Selama tiga hari tu dia tak ada di rumah dan tinggal di tempat penginapan yang disediakan oleh pihak Petronas. Beberapa hari sebelum tu Ojet berada di Arau bertemu dengan advisornya.

Sepanjang tiga minggu ini, sehingga minggu depan aku sendirian di rumah. Ojet dah balik dari Perth, Australia... tapi semalam dia dah ke Arau dengan train untuk bertemu dengan advisornya semula. Hari Ahad ni baru balik KL tapi dua hari lepas tu nanti dia akan ke Arau semula untuk viva-nya pulak. Dia agak sibuk di penghujung semester 6 ini. Akhir bulan Jun nanti tamatlah latihan praktikalnya di Petronas. Dan menunggu untuk hari konvokesyen.

Ketika dia mengemaskan barang-barangnya untuk ke Australia tempohari, aku duduk saja memerhatikan dia. Sambil tu aku ingatkan juga supaya jaga diri dan berhati-hati berada di tempat orang.

"Bawa duit lebih sikit dik. Mana tahu kok ada apa-apa masalah nanti. Tak apa, kalau tak guna balik nanti boleh convertkan semula. Tak payah belikan mak apa-apa. Mak tahu barang-barang kat sana mahal!"

"Fridge magnet pun mak tak nak?"

"Tak, mak dah ada fridge magnet Australia."

Tapi tak sangka dan memang surprise bila Ojet belikan aku sebotol minyak wangi jenama Beyonce... Limited Edition 100ml dari Australia... dan sehelai t-shirt warna pink. "Mak, nah! untuk Hari Ibu." Ai tentulah meleret senyum aku sampai telinga kannn.

Koala tu Ojet minta lekatkan kat cermin 
kereta aku. Buat teman mak!

Thanks! Dot!

Aku pun ada surprise juga untuk dia. Sepasang boots untuk dipakai masa dia ke Perth tempoh hari. Sebelum pergi tu sibuk sangat nak cari kasut. Tapi tak ada masa pulak nak pergi mencarinya. Aku cakap pakai jelah mana kasut yang ada. Tapi dia berkeras juga nak pergi shopping cari boots. Bila di tanya kenapa nak buang-buang duit beli kasut baru, jawapannya "nanti nak bergambar-gambar nampak cantik!"

Hai! lah anak. Taknak dia kecewa... akhirnya aku pergi belikan. Masa tu dia tak ada di rumah kerana menyertai kumpulan temuduga tu. Aku bawa adik aku untuk ukuran kakinya. Aku letakkan kasut baru tu tepi katilnya. Bila balik dan tengok kasut tu, bukan main senyum lagi.

Surprise untuk Ojet.

(nota mak: Dot, Polkadot, Dikda, Aja, Ojet... panggilan aku untuk Ojet. Suka hati je nak panggil dia dengan nama apa. Panggilan manja-manja... Abah dia pulak panggil Naja... tapi bila aku dah panggil dengan nama penuh, itu maknanya aku tengah marahkan dia.)

Sunday, May 17, 2015

Bila sendirian...

Segalanya jadi mudah dan ringkas je. Terutama bab makan.
 Tak payah fikir-fikir sangat menu dan nak masak apa. Yang 
nak makan aku sorang je. Cukup masak lemak cili padi pucuk ubi, 
goreng ikan tenggiri jeruk dan ulam jering... dengan nasi putih. 

..........

Rojak satay... resipi sendiri, mudah dan ringkas....
Pergi makan satay. Order 10 cucuk. Tak habis. Minta 
pelayan bungkuskan. Balik simpan dalam peti ais. Esoknya rasa-rasa 
macam malas nak masak... leraikan daging satay tu dari  lidinya.
Panaskan dalam kuali tak melekat. Kemudian tuangkan 
kuah kacangnya, nasi himpit serta timun.

Friday, May 15, 2015

Semakin pasti...

Lama... hampir sejam berbual dengan abang di talipon pagi tadi... katanya tengah study untuk final exam dua minggu lagi. Nada suaranya gembira dan yakin. Itulah yang aku sering harapkan. Menjelang exam, moodnya bagus, sihat dan gembira. Tiada apa yang mengganggu fikirannya. Tumpuannya seratus peratus terarah pada peperiksaan yang akan di tempuhinya.

Seminggu dua ni aku sendirian dirumah. Ojet nampaknya agak sibuk. Walaupun cuma baru intern tapi dia juga terlibat dalam temuduga pemilihan pelajar-pelajar lepasan SPM 2014 yang memohon tajaan Petronas selama tiga hari dan tinggal di tempat penginapan yang telah di sediakan. Malam selasa lepas aku pergi menjemputnya di GTower hotel. Dan Rabu kelmarin dia berlepas ke Perth, Australia.

Kata sorang kawan lama, “anak-anak ini ibarat tetamu dalam hidup kita...dia datang dan pergi. sampai masanya mereka akan punyai kehidupan sendiri...dan hidup kita berakhir sendirian juga...”

Aku akur... anak-anak telah dewasa dan mempunyai perancangan untuk mengatur kehidupan mereka. Setelah berbincang dan berbincang... Abang nampaknya semakin pasti menyahut cabaran dan menerima tawaran untuk bekerja disatu syarikat minyak yang beribu pejabat di Calgary, Kanada. Walaupun aku sedikit sebanyak di buru kerisauan... tapi bak kata suami adik aku, “dia bukan baby lagi”.

Ojet juga sudah menerima tawaran kerja. Tapi buat masa ini biarlah aku simpan berita gembira ini. Ada banyak perkara yang harus di selesaikan dulu oleh Ojet. Janjinya pada aku, “mak, kita bincang lepas Ong balik dari Australia...”

(Nota mak: *Ong - cara Ojet membahasakan diri.)